Bekas COO Tabung Haji Tak Dapat Hadir Ke Mahkamah Sebab Sakit Jantung

Pertuduhan terhadap bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa ditangguhkan selepas beliau tidak hadir ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut laporan Kosmo, beliau difahamkan tidak dapat hadir kerana sedang menerima rawatan berkaitan jantung di Pusat Perubatan Pakar Universiti Malaysia (UMSC).

COO Tabung Haji sepatutnya berdepan tiga pertuduhan

Bekas pegawai kanan TH itu sebelum ini dijadualkan didakwa atas tiga pertuduhan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Ketidakhadiran beliau dimaklumkan peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin ketika prosiding di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Isteri bekas pegawai kanan TH itu yang turut hadir di mahkamah kemudian mengesahkan keadaan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin menerima alasan ketidakhadiran bekas pegawai tertinggi TH itu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menetapkan keputusan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi melihat sama ada tertuduh dapat hadir ke mahkamah untuk mendengar pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, Wan Azwan Aiman ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan anak guamnya akan berdepan tiga pertuduhan menerima suapan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan tujuh individu terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH ditahan SPRM pada 14 Ogos lalu.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Buat masa ini, pertuduhan terhadap bekas COO TH berkenaan masih belum dibacakan dan mahkamah akan melihat perkembangan kes pada sebutan semula 24 September depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *