Ustaz Wadi Annuar Tegur Drama Madu Atau Racun: Jangan Racuni Generasi Akan Datang!

Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar menggesa penayangan drama yang didakwa menormalisasikan hubungan songsang dihentikan kerana dikhuatiri memberi pengaruh negatif terhadap pemikiran generasi akan datang.
Beliau berkata, kandungan sedemikian tidak wajar dipaparkan sehingga perkara yang dilarang dalam Islam akhirnya dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam masyarakat.
“Berhentilah menayangkan drama yang menormalisasikan hubungan songsang.
“Jangan racuni pemikiran generasi akan datang sehingga perkara yang ALLAH larang dianggap biasa,” katanya menerusi hantaran di Threads, hari ini.
Kenyataan itu susulan kontroversi membabitkan drama ‘Madu atau Racun’ yang sebelum ini mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, sebelum ini menegaskan pihaknya menolak penayangan drama berkenaan yang didakwa menerapkan elemen menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.
Beliau berkata, prinsip ajaran Islam sentiasa mengutamakan pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tata susila kehidupan beragama.
Katanya, pemaparan gaya hidup songsang sama ada secara tersurat atau tersirat adalah bertentangan dengan nilai murni berkenaan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, memaklumkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengadakan pertemuan dengan pihak produksi serta platform penstriman iQIYI bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama berkenaan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut dijangka mengambil bahagian dalam pertemuan berkenaan.
Pertemuan itu dijangka memberi ruang kepada pihak berkaitan mendapatkan penjelasan menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut dipertimbangkan berdasarkan garis panduan dan peraturan sedia ada.

