5 hari pulang dari Hospital Bahagia, Yasin Sulaiman sibuk siapkan buku autobiografi

PENYANYI Yasin Sulaiman kembali berkongsi  rutin hariannya di media sosial selepas lima hari pulang ke rumah sebaik selesai menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Menerusi hantaran terbaharu di aplikasi Threads, Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 51, memaklumkan dia kini sedang dalam proses menyiapkan sebuah buku autobiografi yang mengisahkan perjalanan hidupnya.

“Saya dalam proses menerbitkan sebuah buku autobiografi 400 muka surat,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Yasin mula kongsi rutin harian bersama peminat.

Dalam hantaran sama, Yasin turut berkongsi foto dirinya bersama maestro muzik terkenal, Datuk M. Nasir yang dipaparkan dalam satu keratan akhbar.

Menurut Yasin, dia kini sedang memilih gambar yang bakal dimuatkan dalam buku tersebut dan foto bersama M. Nasir antara yang bakal diselitkan.

“Sekarang tengah memilih gambar yang akan dimuatkan dalam buku tersebut. Gambar ini pastilah antara gambar yang akan diselitkan,” kongsinya.

Selain itu, Yasin turut memuat naik beberapa foto pertemuannya bersama komposer Ezra Kong.

Perkongsian tersebut sekali gus mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat yang tidak sabar menantikan hasil kerjasama antara mereka.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepada Yasin selain menyambut baik kemunculannya kembali di media sosial.

Pada 2 September lalu, penyanyi Akbar Azmi memaklumkan Yasin sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas empat tahun menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Untuk rekod, pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *